Tuesday 1 October 2013

KENAPA KERAJAAN PUSAT SELALU KANTOI BAJET ?

SHAH ALAM : Kerajaan Pusat perlu menerangkan kenapa wang negara terlebih belanja sehingga memaksa Parlimen untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2013 bagi menampung perbuatan itu.

Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen berkata garis panduan Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) menetapkan pemerintah yang meminta pertambahan yang berlebih-lebihan biasanya menunjukkan perbelanjaan yang tidak berdisplin.

Apa yang turut mengecewakan, perbuatan itu juga menunjukkan belanjawan sebelum ini tidak disediakan dengan baik dan tidak berpandangan jauh.

“Pada prinsip asasnya perbekalan tambahan tidak diperlukan selagi belanjawan disediakan dengan baik dan apa-apa perbelanjaan yang tidak dijangka ditampung dari rizab kontingensi,” tegas William ketika berucap di sesi Pembahasan RUU Perbekalan Tambahan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau merujuk kepada bayaran tambahan sebanyak RM8,853,400,000 (RM8.853 bilion) untuk menampung pembayaran tuntutan subsidi barangan petroleum bagi tahun 2013. William mahu Kerajaan Pusat menjelaskan bagaimana peruntukan asal bagi tujuan itu iaitu sebanyak RM20,015,000,000 (RM20.015 bilion) dibelanjakan.

“Adakah bayaran ini dijangka bila Belanjawan 2013 di siapkan untuk pembentangan pada October 2012?” soal William, dan menambah, “Saya minta Kerajaan memberikan maklumat jumlah daripada peruntukan asal telah dibayar dan apa kah perubahan dalam andaian ekonomi yang mempengaruhi dasar belanjawan yang telah diluluskan pada October 2012.”

No comments:

Post a Comment