4 Rabi'ul akhir 1434H,
SHAH ALAM: Penasihat
Ekonomi Selangor, Dat0’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mampu memberikan
pendidikan percuma kepada rakyat sekiranya amalan seperti boros dalam
berbelanja, berhutang dan rasuah dapat dihentikan.
Menurutnya, dakwaan pemimpin BN kononnya negara akan mengalami kerugian sekiranya hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) dilupuskan adalah tidak benar.
“Mansuhkan PTPTN
boleh bankrap negara? Mereka harus ditanya adakah hutang NFC, pemberian tanah
kepada Ketua Wanita Umno Selangor, pengaliran keluar wang haram, adakah itu
tidak bankrapkan negara,” soal beliau kepada 2,000 mahasiswa Universiti
Selangor (Unisel).
Memberikan ucaptama
sempena Konvensyen Antarabangsa Pendidikan (KAP 2013) di Dewan Pro Canselor
Unisel, Kampus Shah Alam dekat sini, beliau menegaskan, semua amalan yang
dilakukan oleh pemimpin Umno kini bakal ditanggung oleh generasi akan datang.
Sementara itu,
Pengarah Strategik KeADILan, Rafizi Ramli ketika membentangkan kertas kerja
bertajuk “Pendidikan percuma, keadilan melalui pendemokrasian pendidikan’
berkata, Pakatan Rakyat komited memberi pendidikan percuma kepada rakyat.
Menurutnya, kerajaan
hanya perlu menggunakan RM6.5 bilion setahun daripada hasil petroleum negara
berjumlah RM431 bilion untuk menjayakan usaha tersebut.
Ia meliputi kos
membatalkan yuran sedia ada di IPTA, memberi biasiswa sara hidup kepada
pelajar, kos menghapuskan hutang PTPTN, kos mewujudkan tabung baru pendidikan
dan pembinaan universiti bernilai RM1 bilion setiap tahun selama 10 tahun bagi
menampung keperluan.
“Biasiswa yang kita
beri bukan untuk kaya, tetapi untuk makan. Kita juga akan menambah bilangan
tempat di IPTA, kalau ada pelajar pilih IPTS, itu hak dia. Tetapi apa yang
paling penting adalah ada rakyat tidak mampu menangung kos pengajian dalam
bidang perubatan sebagai contoh.
Menambahkan bilangan
tempat di IPTA itu sangat penting.
“Tanggungjawab itu
adalah tanggung jawab kerajaan, bukan swasta kerana dasar Umno untuk
mengalihkan tanggungjawab ini kepada pihak swasta. Ia menjadi sumber kekayaan
mudah kepada kroni, lubuk emas kepada mereka,” katanya.
Mengenai pemansuhan
hutang PTPTN yang bernilai RM25.9 bilion, beliau menjelaskan bahawa ia dibiayai
menerusi pelaburan tetap sebanyak RM2 bilion setahun sehingga 15 tahun dan
peruntukkan tambahan RM4.5 bilion setahun dari belanjawan tahunan untuk
menampung tanggungan akan datang.
Rafizi berkata,
pendidikan bukan satu perbelanjaan kos yang merugikan namun ia pelaburan
pembangunan modal insan jangka panjang yang bakal menguntungkan pembangunan
negara.
“Pelaburan pendidikan
paling penting, matlamatnya jelas iaitu hendak seribu daya, tak hendak seribu
dalih.
Kalau tak faham
mengenai konsep ini banyak alasan diberikan,” katanya.
Oleh: MUHAMMAD ARIF ISMAIL
No comments:
Post a Comment