Baik dalam Parlimen atau di luar Parlimen ahli ahli Parlimen BN kuat meneriak agar Ordinan Darurat ( EO ) yang telah dimansuhkan dan kini berehat di dalam kubur untuk dihidupkan semula. Alasan mereka hanya dengan EO gejala jenayah berat dapat diselesaikan.
Mantan Ketua Menteri Melaka , Ali Rustam pergi lebih jauh lagi - beliau
menyalahkan pemimpin Pakatan Rakyat ( PR ) di atas segala jenayah
pembunuhan ala mafia yang berlaku sekarang. Mahathir pula menyatakan
Kerajaan BN menggadaikan kebebasan dengan pemansuhan EO.
Mantan Ketua Polis Negara (KPN ), Rahim Noor dan KPN pula mahukan
Kerajaan menghidupkan semula EO. Agak lucu juga Rahim Noor bercakap
tentang jenayah dalam keadaan beliau sendiri telah gagal memastikan
keselamatan orang yang ditahan di lokap polis-tempat yang sepatutnya
paling selamat-benar benar selamat. Adakah beliau telah lupa bagaimana
beliau sebagai KPN telah mencederakan Anwar Ibrahim di dalam lokap
polis. Jika polis melakukan jenayah sudah dikira jijik bagaimana pula
jika Ketua Polis yang melakukan jenayah dan jenayah pula dilakukan di
dalam lokap polis?
Adakah benar EO ubat yang mujarab bagi menyelesaikan jenayah berat
seperti kongsi gelap? Jika benar sudah pasti sudah lama gejala kongsi
gelap telah dapat diselesaikan kerana EO hanya dimansuhkan setelah usia
EO mencapai usia emas.Seperti yang kita tahu EO membenarkan penahanan
tanpa bicara seperti ISA, maka sepanjang tempoh EO masih hidup dan
bernyawa logiknya sudah tentu sudah ramai ketua ketua kongsi gelap yang
berjaya ditahan sekaligus segala kegiatan dan modus operandi mereka
sudah boleh dikenal pasti. Jadi mengapakah ketua polis masih mengeluh
kita masih masih perlukan EO?
Hakikatnya EO bukan sahaja digunakan ke atas penjenayah berat malahan
penjenayah biasa yang terlibat dengan kesalahan yang dikira kecil juga
menjadi mangsa EO. Peguam yang biasa mengendalikan jenayah tahu sangat
perkara ini. Tapi itu bukan isunya mengapa PR dan mana mana individu
yang prihatin meminta EO dimansuhkan.
Ya, jenayah berat isu kita bersama.Namun sejahat mana pun seorang
penjenayah mereka masih seorang manusia. Mereka ada hak iaitu hak
sebagai seorang manusia. Hak ini adalah hak yang diberikan oleh Tuhan
kepada manusia itu. Hak itu wujud sebelum wujudnya mana mana undang
undang di negara di dunia ini. Hak itu hak yang sentiasa ada sekalipun
tiada apa apa undang undang dalam mana mana negara. Di dalam bahasa
ingggeris ianya dikenali sebagai "inalienable rights".
Atas dasar itu apabila Presiden Amerika Thomas Jefferson mengumumkan
Perisytiharan Kemerdekaan ( Declaration of Independence ) di dalam
perenggan kedua Perisytiharan Kemerdekaaan tersebut wujudnya kata kata
ini " kami menerima perkara berikut sebagai satu kebenaran yang nyata
iaitu semua manusia dilahirkan sama dan mereka dikurniakan oleh Pencipta
mereka beberapa hak yang tidak boleh dipisahkan dari mereka ..". Ada
sarjana undang undang yang menyatakan kata kata tersebut menunjukkan
wujudnya pengaruh Islam dalam Perisytiharan Kemerdekaan tersebut. Mereka
yang mempelajari sejarah Islam sudah tentu arif dengan kata kata
Khalifah Islam Syaidina Umar r.a kepada Gabenor Mesir , Amru Al-As "
sejak bilakah kamu diberi izin memperhamba sesama manusia sedangkan ibu
ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan bebas". Kata kata syaidina
Umar itu ditujukan kepada Gebenornya sendiri apabila anak Gabenor
memukul rakyat biasa sambil membanggakan dirinya dengan kata-kata " ana
ibnu al -akramin" ( aku anak orang yang mulia).
Antara hak orang yang ditahan yang tidak boleh dipisahkan dari mereka
sejahat mana mereka sekalipun adalah hak untuk dianggap tidak bersalah
melainkan dibuktikan bersalah dan termasuk hak itu adalah hak untuk
dibicarakan dan sekaligus hak untuk membela diri. Kerana hak itu
bersifat azali maka sebab itu Perlembagaan Persekutuan juga mengiktiraf
hak tersebut dalam Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan. Malangnya
pemimpin Umno/BN , Rahim Noor dan KPN yang ada ini tidak ambil peduli
hak hak ini. Bagi mereka menahan tanpa bicara sekalipun bertentangan
dengan prinsip keadilan dan prinsip asas undang undang jenayah iaitu
seseorang dianggap tidak bersalah adalah suatu perkara yang remeh dan
tidak perlu diambil berat. Persoalannya bagaimanakah kita nak meremehkan
sesuatu hak yang Pencipta manusia itu sendiri berikan?
Satu kesilapan dalam berfikir pemimpin Umno , Rahim Noor dan KPN adalah
mereka membuat anggapan apabila ada rakyat yang bercakap tentang hak
orang yang ditahan mereka dikira tidak ambil berat kepada mangsa
jenayah. Anggapan ini amat amat salah. Mana mungkin PR memandang remeh
kepada mangsa penjenayah kerana mana mana mangsa penjenayah itu sudah
tentu dalam apa keadaan sekalipun mempunyai hubungan dengan mana mana
pemimpin atau ahli ahli PR sama ada saudara mereka atau jiran mereka
atau paling kurang rakyat senegara.
PR mahu gejala jenayah berat dibanteras. Mereka perlu ditangkap tetapi
mestilah dibicarakan. Jika perbicaraan ke atas mereka sukar disabitkan
kerana masalah untuk dikemukakan keterangan dan bukti apa yang perlu
dilakukan bukan menahan mereka tanpa bicara sebaliknya undang undang
keterangan bagi pengemukaaan bukti bagi kes berat boleh dikaji semula
tanpa kompromi perbicaraan yang adil. Sebagai satu contoh amat sukar
untuk membuktikan pengedaran dadah dalam perbicaraan kes dadah. Sebab
itulah undang undang dadah dipinda dengan memperkenalkan pembuktiaan
melalui anggapan atau pembuktian melalui agen provokator (polis yang
menyamar). Ini dilakukan tanpa melenyapkan hak orang yang ditahan untuk
dibicarakan.
Apa yang kita takut dan mempunyai sebab untuk takut apabila didedahkan
oleh bekas bekas pegawai polis yang berpangkat tinggi gejala jenayah
kongsi gelap dan pembunuhan ala mafia ini terus berlaku kerana
penglibatan pegawai pegawai polis dan ahli ahli politik. Apa yang
berlaku kepada mendiang Altantuya membuktikan dakwaan itu bukan suatu
yang kosong. Bagaimanakah bom C4 yang digunakan untuk meletup banggunan
boleh terlepas begitu sahaja. Bagaimanakah anggota anggota keselamatan
yang bertugas menjaga keselamatan Menteri boleh terlibat dalam
pembunuhan ngeri sebegitu. Ini yang patut kita bincangkan bukan beri
nyawa sekali lagi kepada EO!!!
*Penulis adalah Ahli Parlimen Sepang
No comments:
Post a Comment