Sunday 15 September 2013

TEKUN DAN TAMBAHAN DANA TIDAK AKAN KEMANA !A

SHAH ALAM, 14 SEPT: Dana tambahan RM700 juta untuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga  (Tekun) tidak mencapai objektif mengangkat ekonomi bumiputera marhaen sekiranya tabung itu terus dijadikan alat politik Umno.
Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul berkata tabung seperti itu sewajarnya membantu semua bumiputera tanpa mengira fahaman politik, ketika adanya aduan mendakwa pemohon disyaratkan menjadi ahli Umno.
Pertambahan dana untuk Tekun diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam sebagai sebahagian daripada Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Dakwaan perlunya menjadi ahli Umno ini, tegas beliau akan hanya menyebabkan ahli-ahli Umno sahaja yang mendapat faedah dari pertambahan dana Tekun.
“PKR tak bantah langsung menambahkan dana Tekun ini sebab Tekun ini sepatutnya untuk usahawan kecil bumiputera tetapi perlaksanaannya Perdana Menteri harus ‘colour blind’ fahaman politik.
“Dana ini tidak boleh hanya disalurkan kepada orang Umno sahaja, tidak menyeluruh kepada usahawan bumiputera sebab yang bukan Umno juga bayar cukai, tidak boleh dikecualikan menikmati faedah yang disediakan kerajaan,” kata Johari kepada TV Selangor.
Johari menambah Kerajaan Pusat juga harus memberi penekanan kepada kualiti keusahawanan melalui strategi proaktif secara berterusan.
Tambah Johari, kegagalan kerajaan mengambil langkah berkesan bukan sahaja akan menyebabkan kegagalan pembangunan usahawan, malahan Tekun juga terpaksa berhadapan dengan isu kegagalan usahawan  membayar semula pinjaman yang diberikan.
“Kita tak mahu kalau hari ini seorang usahawan itu proses dan jual kerepek cara tradisi, 15 tahun kemudian masih sama tetapi sepatutnya dia dah pakai mesin untuk melabel, pembungkusan dan dah boleh memasarkan produknya di pasaraya besar.
“Agensi berkaitan tak boleh tunggu sahaja di pejabat usahawan datang tetapi mereka perlu turun padang kenal pasti siapa yang patut dibantu dari segi ilmu termasuk pemasaran dan perlatan seperti mesin,” ujar Johari lagi.
Semalam, ketika mengumumkan tambahan Dana sebanyak RM700 juta kepada Tekun, Najib mensasarkan bilangan usahawan Tekun ditingkatkan daripada 270 ribu pada 2013 kepada 370 ribu pada 2015.

No comments:

Post a Comment