Sunday 21 October 2012

SOKONGAN RAKYAT TERUS MENINGKAT


SHAH ALAM 21 OKT: Jelajah Merdeka Rakyat di beberapa kawasan di Selangor menyaksikan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat semakin meningkat sekaligus mencerminkan kepercayaan masyarakat negeri ini untuk terus bersama PR.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sejak beliau memulakan rombongan di Desa Air Hitam, Puchong dan Pantai Morib, Kuala Langat, kehadiran rakyat di setiap ceramah amat memberangsangkan.
Biarpun hujan lebat pada pagi dan petang, ianya tidak mematahkan semangat penduduk di setiap kawasan yang dikunjungi untuk hadir beramai-ramai bagi mendengar amanat dan mesej yang dibawa oleh pemimpin PR.
Abdul Khalid di dalam ucapannya di Ijok berkata, rakyat di Selangor kini dapat merasai perbezaan melalui perubahan yang dilakukan semasa Pilihanraya Umum 2008 yang lalu.
“Rakyat dapat menikmati pelbagai manfaat melalui pentadbiran yang telus dengan penganjuran pelbagai program dan bantuan seperti pemberian air percuma, skim bagi warga emas dan wanita dan tuisyen percuma bagi pelajar-pelajar di negeri ini.
“Cara kita mengurus negeri ini, Laporan Ketua Audit menunjukkan Selangor merupakan antara negeri-negeri yang terbaik pentadbirannya dan jika dilakukan perbandingan dengan kerajaan Umno-BN sebelum ini, kita ternyata lebih baik,” katanya di hadapan penduduk Ijok.
Selain Puchong, Kuala Langat dan Ijok, rombongan semalam turut mengunjungi Pandamaran di Klang dan Kampung Assam Jawa di Kapar sebelum mengakhiri perjalanan di parkir Stadium Shah Alam.
Rombongan tersebut turut disertai Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Di dalam ucapannya di Shah Alam, Anwar memuji pentadbiran Abdul Khalid sambil menyifatkan beliau sebagai Menteri Besar Selangor yang terbaik.
“Saya akui beliau merupakan seorang yang sangat cermat dan berkira dalam menguruskan wang di negeri ini.
“Tetapi sikap inilah yang diperlukan seorang pemimpin bagi menjamin wang negeri ini dikembalikan kepada rakyat untuk menikmatinya,” katanya di hadapa kira-kira 6,000 hadirin.
Katanya, integriti tinggi yang dimiliki Abdul Khalid menyebabkan negeri ini mampu mempunyai rizab simpanan sehingga RM 2.2 bilion walaupun membelanjakan wang yang banyak bagi program bantuan rakyat seperti skim air percuma, Jom Shopping, TUNAS dan Sri Kembar.
“Dahulunya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Khir Toyo mendakwa Selangor akan bankrup jika berhasrat memberikan air percuma.
“Tetapi dengan pentadbiran yang telus dibuktikan oleh Abdul Khalid, simpanan negeri meningkat daripada RM1 bilion kepada RM 2.2 bilion walaupun memberikan pelbagai kemudahan kepada rakyat,” kata Anwar.

No comments:

Post a Comment