Sunday 18 November 2012

AMBIL IKTIBAR ! ALLAHHUAKBAR !

Ambil Iktibar Ucapan Dasar Presiden PAS ~ Wan Azizah


Presiden PKR Datuk Wan Azizah Wan Ismail (gambar) mengambil iktibar dari ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang memberikan gambaran yang luas merangkumi semua aspek.

Beliau berkata, Tuan Guru Abdul Hadi banyak menyentuh isu-isu semasa yang sepatutnya ditangani oleh semua pihak khususnya membabitkan pergolakan umat Islam di luar negara.

"Misalnya isu Palestin yang semakin bergolak, Filipina dan Rohingya," katanya ketika ditemui di khemah perkarangan Putik.

Beliau turut memberi sokongan terhadap seruan Presiden PAS yang mengajak para petugas PAS serta Pakatan Rakyat agar bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya.

"Sama-sama kita akan dapat kemenangan, kita akan ubah kepincangan-kepincangan yang berlaku dalam pemerintahan hari ini," katanya.

Wan Azizah juga memuji penegasan Abdul Hadi berhubung konsep Negara Berkebajikan yang menyifatkan konsep itu merangkumi aspek perpaduan yang akan membawa negara ini ke arah yang lebih adil dan saksama.

Bahkan, jelasnya, konsep ini turut diketengahkan di peringkat Pakatan Rakyat dan sudah mempunyai mekanisma bagaimana hendak mentadbir negara dalam konsep yang dibawa oleh PAS.

Sorakan peperangan


Sementara itu, Pengerusi Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia, Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh menyifatkan ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai sorakan peperangan khususnya kepada jentera parti bagi menghadapi pilihan raya nanti.

Beliau yang mengikuti Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 yang berlangsung di Putik berkata kandungan ucapan dasar itu cenderung kepada persiapan pilihan raya walaupun ia hanya disebut dihujung ucapan.

Katanya, di awal ucapan Presiden PAS menggariskan semula konsep Negara Berkebajikan sebagai teras kepada perjuangan parti itu.

"Saya menjangkakan ucapan lebih kepada membuat persediaan pilihan raya, jadi kali ini agak berbeza, mungkin ramai yang berandaian begitu, nampaknya tidak begitu.

"Saya rasa itu bukan perkara tidak baik, bagi saya asas kena kuat dan asas itu berbalik kepada kebajikan, ikhlas, jujur perjuangan Islam dan ilmu menjadi perkara penting," katanya ketika ditemui.

Jelasnya, konsep Berkebajikan yang diketengahkan ini adalah asas kepada Islam iaitu agama yang adil malangnya konsep itu disalah ertikan oleh sesetengah pihak. 

"Pentingnya adalah keadilan itu untuk semua dan keadilan itu untuk ada hubung kait dengan kezaliman, perkara perkara inilah ia menjadi asas bagi PAS,"katanya.

Media beri tumpuan

Dalam pada itu, AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mendakwa, media Umno memberi tumpuan kepada Muktamar PAS kali 58 di PUTIK pada 16-18 Nov 2012.

Hajat untuk melihat PAS berpecah dan mencadangkan supaya perwakilan membangkitkan masalah kerjasama PAS dengan PR insyaAllah tidak berhasil, sebaliknya hubungan semakin intim, katanya.

Bagi beliau, kritikan dan cadangan yang konstruktif adalah lumrah di dalam setiap kali Muktamar PAS.

"Muktamar bukan pesta mengampu pemimpin tetapi ia adalah medan muhasabah antara pemimpin dan perwakilan," katanya.

Bagi beliau, ini adalah muktamar terakhir sebelum menghadapi PRU 13 dan memacu gerak kerja pilihanraya lebih agresif.

Amanat Presiden dengan tema Negara Berkebajikan Teras Perpaduan amat bermakna sekali kepada semua pemimpin dan perwakilan, katanya.

Ucapan yang bersifat holistik, samaada dalaman atau luaran.

"Arahan yang begitu jelas kepada semua yang  hadir begitu teruja sekali terutama memastikan semua jentera parti menumpukan kerja pilihanraya yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment