SHAH ALAM,18 MAC : Pakatan Rakyat (PR) akan menawarkan sistem cukai
yang adil kepada semua golongan di negara ini jika berjaya ke Putrajaya
selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kelak.
Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, sistem cukai yang sedia
ada sudah lapuk dan perlu dirombak semula supaya tidak berterusan
menindas golongan bawahan.
Katanya, sistem cukai yang digunapakai Kerajaan Umno-BN sekarang
dibuat pada puluhan tahun dahulu dan tidak sesuai digunapakai pada masa
kini.
“Sistem cukai ini dibuat pada tangga gaji 40 ke 50 tahun dahulu,
sebab itu contohnya di bawah Umno-BN sekarang, bagi mereka yang mendapat
pendapatan boleh cukai bersih adalah RM 100,000 ke atas setiap tahun,”
katanya dalam satu sesi Dialog Anak Muda bersama Anwar Ibrahim di Bandar
Utama baru-baru ini.
Jelasnya, ini bermakna pekerja di negara ini yang mendapat gaji
bulanan RM10,000 ke atas merupakan pembayar cukai tertinggi di negara
ini.
“Maknanya,
awk kerja sebagai eksekutif kanan, awak bayar cukai sama nilai macam
Ananda Krishnan, Ananda Krishnan ada RM18 bilion kekayaan,” sindirnya.
Tambah Rafizi, jika PR berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan,
struktur cukai akan dirombak dan dinaikkan kepada RM450,000 setahun dan
ini hanya akan melibatkan pekerja yang mendapat gaji RM45,000 sebulan
dan ke atas.
“Kalau RM450,000, maksudnya yang pendapatan bulanan RM40,000 sebulan dia akan jadi pembayar cukai tertinggi.
“Kemudian yang lain kita akan buat pengagihan kelas cukai supaya
akhirnya eksekutif tidaklah perlu bayar cukai pada kadar yang sama
dengan orang yang paling kaya,” katanya dalam forum yang dihadiri lebih
200 orang itu.
Dalam pada itu, Rafizi turut menjelaskan PR menggunakan mekanisme
keadilan dan kesaksamaan apabila mahu melaksanakan cukai perkhidmatan
kerajaan(GST) yang diperkenalkan Kerajaan Umno-BN.
GST diperkenalkan oleh Kerajaan Umno-BN supaya dapat menurunkan cukai
pendapatan serta dapat memberikan sumber kewangan berterusan kepada
kerajaan.
Katanya, perlaksanaan GST akan menjadi beban kepada 28 juta rakyat
Malaysia dan hanya menguntungkan segelintir rakyat akibat pengurangan
cukai pendapatan.
“Adalah tidak adil untuk melaksanakan GST pada masa sekarang kerana
yang dapat manfaat daripada menurunkan cukai hanyalah satu juta rakyat
sahaja dan buat masa sekarang kita menangguhkan dulu mengenai GST
sehingga berlakunya reformasi dalam ekonomi negara kita,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment