Kenyataan Umum
27 Mac 2013
SEDIA JADI JENTERA BIASA DAN TIDAK 
BERTANDING DALAM PRU KE 13
Pilihanraya ke 13 merupakan PRU yang 
terpenting dalam sejarah negara. Belum pernah mood rakyat setinggi ini untuk 
membuat perubahan bagi menamatkan sejarah penguasaan regim yang diwariskan 
kepada negara ini oleh penjajah.
Namun perlu disedari cabaran yang 
terpaksa didepani bukan sedikit. Seribu satu helah dan taktik jahat akan 
digunakan untuk mempertahan regim ini seiring dengan seruan Najib Razak iaitu 
akan pertahankan 'Putrajaya' dengan darah biar hancur tulang 
belulang.
Maka fasa ini memerlukan penyatuan semua yang berada di pihak 
pro perubahan. Mood perubahan amat tinggi namun sejarah pernah membuktikan 
banyak kali perubahan gagal dicapai antara sebabnya ialah kerana perebutan dan 
pertelingkahan. che'GuBard menasihatkan diri dan teman - teman agar mengambil 
iktibar sejarah ini.
Ini masa seharusnya semua kelompok khususnya anak 
muda menumpukan gerak kerja mengasak perubahan tanpa berehat. Jalan yang dipilih 
ialah perubahan melalui peti undi dan kenderaannya ialah politik kepartian, maka 
perlu sedar ia sudah tentu penuh dengan kerenah politik itu sendiri. 
Mendepani regim yang amat rakus dan pertembungan politik yang tidak 
jujur dan adil selaku anak muda ikhlas diakui ia amat mencabar kadang kala 
seperti tidak sanggup berdepan. Namun apa pun cabaran dalaman fokus perubahan 
besar demi tanah air tidak boleh sama sekali teralih.Untuk terus berada pada 
fokus yang betul maka kepentingan peribadi harus diletak tepi. 
Mengajak 
semua peringkat pro perubahan bersatu dan menolak prasangka , che'GuBard dengan 
ini menegaskan untuk tidak bertanding dalam PRU ke 13 dan sedia menjadi jentera 
biasa. Kita semua harus sedar pertembungan kali ini ialah pertembungan 
kebangkitan dan kesedaran rakyat melawan regim yang jahat, korup dan sedang 
menghancurkan tanah air.
Menyeru semua kelompok anak muda untuk bersama 
dalam mood perlawanan maksima, yakinlah kejayaan kita bukan memenangi satu dua 
pertempuran sahaja tetapi peperangan menumbangkan regim menyelamatkan negara 
lebih penting. 
che'GuBard tidak punya jawatan dalam parti politik cuma 
anggota biasa dalam Parti Keadilan Rakyat, namun sedar tetap terikat dengan 
disiplin parti. Apa keputusan parti dan keperluan parti untuk peranan yang 
cheGuBard harus mainkan dalam PRU ke 13 akan akur. Selaku anggota parti akan 
akur dan terikat dengan disiplin parti namun ditegaskan bersedia dan lebih 
selesa menjadi jentera biasa.
Bersama rangkaian komrad Solidariti Anak 
Muda Malaysia (SAMM), kami sedia menggerakkan jentera anak muda dalam dan luar 
negara untuk terus mengasak perubahan dengan segala daya yang ada. SAMM telah 
pun menjalankan dan sedang menjalankan perbagai program juga tidak berhenti 
malah terus merancang perbagai program penyusunan anak muda untuk mengasak 
perubahan. Komrad SAMM percaya anak muda cita - citanya harus tidak singkat 
hanya untuk bergelar YB tetapi cita - cita kami ialah mencipta secara perubahan 
total yang akan dibaca ganerasi mendatang.
Kepada semua ayuh bersekutu ke 
arah perubahan. Anak muda berparti atau tidak berparti yakinlah tidak apa atau 
tiada siapa yang boleh menghalang kita untuk berjuang merobah negara. Tidak 
perlu menjadi ahli politik untuk berjuang kerana kebanyakan anak muda tidak 
punya syarat lengkap untuk menjadi ahli politik iaitu kemahiran dan kebolehan 
mengampu, bermuka - muka dan mengipas, tetapi berjuanglah dengan cara masing 
masing kerana perjuangan merobah negara milik semua.
Kepentingan teratas 
kini ialah tumbang regim dahulu.
Sekian.
che'GuBard
Penyelaras 
SAMM Kebangsaan
anggota biasa PKR
No comments:
Post a Comment