SHAH ALAM, 7 JUN: Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli mendakwa polis
dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cuba melengah-lengahkan
Perhimpunan Aman #Blackout505 apabila mula berdolak-dalik berhubung
kebenaran penggunaan Padang Merbok.
Sebaliknya menurut Rafizi, polis dan DBKL tidak mempunyai kuasa untuk
tidak membenarkan perhimpunan tersebut diadakan selaras dengan Akta
Perhimpunan Aman dan seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan.
“Kita berpendapat kita memenuhi keperluan memberi notis 10 hari
kepada polis dan mengemukakan permohonan penggunaan padang kepada DBKL.
“Sebelum ini polis juga mengambil pendirian serupa, kena dapatkan
kebenaran pemilik tempat dahulu, tetapi pada masa sama bila kita cuba
dapatkan kebenaran daripada pemilik tempat.
“Pemilik tempat pula memberi alasan perlu mendapatkan kebenaran polis
dahulu dan ini jadi permainan oleh badan-badan kerajaan ini yang
menjaga harta awam untuk melengah-lengahkan dan menyukarkan
perhimpunan,” kata Rafizi ketika dihubungi TV Selangor.
Bagaimanapun menurut Rafizi yang bertindak sebagai salah seorang
sekretariat Pakatan Rakyat(PR), perhimpunan tersebut akan diteruskan
pada 15 Jun ini seperti yang dirancang sebelumnya.
Terdahulu dalam isu sama, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP
Zainuddin Ahmad ketika mengesahkan penerimaan notis tersebut memberitahu
TV Selangor, penganjur Perhimpunan Aman #Blackout505 gagal mematuhi
syarat di bawah Seksyen 10C Akta Perhimpunan Aman kerana tidak mendapat
kebenaran DBKL bagi menggunakan Padang Merbok.
Justeru, perhimpunan tersebut dianggap sebagai perhimpunan haram sekiranya diteruskan.
No comments:
Post a Comment