Monday 10 June 2013

KEJAYAAN PARTI KEADILAN PRU13


Kejayaan Keadilan pada PRU13

Kesan daripada Pilihan Raya Umum ke-13, terdapat banyak perkara yang membelenggu pemikiran para pemimpin Keadilan seluruh negara: kecurangan pilihan raya; provokasi fahaman perkauman dan juga usaha muhasabah dalam memperbaiki parti untuk terus maju ke hadapan.

Dalam pada Umno-BN sibuk berkempen dengan bersifat populis mengagihkan wang dalam kempen mendekati rakyat, hakikatnya Pakatan Rakyat yang sebenarnya telah memenangi undi popular. Hal ini tidak harus dipandang remeh: ini jelas menunjukkan perbezaan antara dua gabungan parti politik di Malaysia hari ini.

Parti komponen lain yang berasaskan kaum juga masih terikat dengan kerangka usang yang berasal daripada dasar pecah dan perintah, sebuah dasar yang diperkenalkan sejak zaman pemerintahan penjajah.

Dalam pada Datuk Seri Najib Razak melabelkan tentangan yang diterima oleh Umno-BN sebagai 'Tsunami Cina', Keadilan pula menunjukkan sebaliknya. Parti berusia 14 tahun ini telah muncul sebagai satu-satunya parti yang berjaya memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi daripada setiap negeri di negara ini – dari Perlis hingga ke Sabah - termasuk Wilayah Persekutuan.

Lebih jelas lagi, Keadilan mempunyai bilangan Adun pembangkang yang tertinggi di Sabah. Ahli Parlimen dan Adun Keadilan kini terdiri daripada bangsa Melayu, Cina, India, Iban, Orang Hulu dan Kadazan.

Keadilan telah meneruskan budaya penyertaan pelbagai kaum – suatu ketika dahulu menjadi tunjang Umno-BN – sebagai kekuatan kami. Meneruskan kecemerlangan susulan beberapa kejayaan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011, parti ini berjaya memecah tembok di Malaysia Timur setelah sekian lama dilabelkan sebagai ‘Parti Semenanjung’.

Walau bagaimanapun, meyakinkan kaum Bumiputera di Malaysia Timur ini masih menjadi cabaran kepada Keadilan umumnya dan Pakatan amnya.

Meskipun parti kekurangan satu kerusi Parlimen berbanding 2008, Keadilan bagaimanapun berjaya meningkatkan jumlah undi di peringkat Persekutuan daripada 1.5 juta kepada 2.3 juta, iaitu daripada 18.6 peratus kepada 20.4 peratus daripada keseluruhan undi 



popular di seluruh negara.

Kualiti pemimpin yang ditonjolkan juga bertambah baik jika dibandingkan dengan 2008. Lebih penting lagi, kepimpinan muda – kumpulan yang bermula dari 2008 seperti Nurul Izzah Anwar, Sim Tze Tzin dan S Kesavan, dan juga kumpulan yang muncul selepas pilihan raya seperti Rafizi Ramli, Darell Leiking dan Shamsul Iskandar – terus mendapat tempat di kalangan pemegang jawatan kanan dan wakil rakyat Keadilan. Ini adalah petanda baik buat masa depan parti.

Selain itu, Keadilan mengambil langkah mengumumkan calon-calon secara berperingkat. Kebanyakan daripada mereka yang diumumkan lebih awal berjaya memperkenalkan diri sendiri di kalangan pengundi dengan lebih efektif seterusnya memperoleh kemenangan. Pendekatan sebegini harus dilaksanakan pada pilihan raya mendatang.

Keadilan dan Pakatan juga boleh berbangga dengan hakikat bahawa kami sebenarnya telah memainkan peranan penting dalam mencorakkan agenda Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu – melalui perangkaan dan pengenalan beberapa idea polisi yang bernas sehingga mampu menarik perhatian para pengundi, serta pendedahan beberapa skandal rasuah yang dilihat seolah-olah sengaja dilupakan.

Kejayaan menubuhkan pasukan-pemikir yang berasakan parti, Institut Rakyat, di bawah nasihat beberapa tokoh korporat, golongan cendekiawan dan aktivis; juga menunjukkan bahawa parti sememangnya serius dalam membangunkan dasar secara berwibawa.

Penubuhannya dikatakan terlalu hampir dengan pilihan raya pada ketika itu untuk memberi impak yang segera tetapi bakal memberi kesan yang besar dalam pilihan raya akan datang.

Parti berjaya membuktikan bahawa Keadilan adalah parti berbilang kaum yang paling berjaya dalam sejarah Malaysia. Walaupun diserang bertubi-tubi dan dilabelkan sebagai ‘parti sementara’ serta sering dianggap sebagai ‘the weakest link’ di dalam Pakatan, 2013 telah menunjukkan betapa segala pertuduhan ini salah dan meleset sama sekali.

Apa yang lebih penting sekarang adalah untuk kita terus maju ke hadapan dan bersatu, mengumpul segala kekuatan yang ada dan menghapuskan segala kelemahan yang terdapat pada Keadilan dan Pakatan.



https://www.facebook.com/photo.php?fbid=390528344399984&set=a.381662478619904.1073741832.100003284650420&type=1

No comments:

Post a Comment