Thursday 28 March 2013

DUN BATANGKALI UNTUK WAN ? KAMI SETUJU SANGAT !

PRU 13 : Dr Wan Azizah Bertanding Di Dun Selangor ?
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini memberi bayangan kemungkinan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.


Menurutnya, keputusan itu belum diputuskan parti memandangkan pembubaran Parlimen masih menjadi teka-teki.

Beliau ditemui di Shah Alam selepas penyampaian sumbangan kepada balu dan waris wira negara yang terkorban di Lahad Datu, Sabah ditanya mengenai desas-desus akan bertanding di DUN pada PRU kali ini.

Wan Azizah yang dikaitkan dengan DUN Sementa dan satu kerusi DUN di Shah Alam juga hanya tersenyum ditanya mengenai perkara itu.

“Saya layak untuk bertanding DUN, tapi perkara ini masih dalam perbincangan tidak formal, tapi untuk kerusi Parlimen tidak,” katanya.“Di kawasan mana untuk bertanding kita kena buat perbincangan,” jelas beliau.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebelum ini menyatakan berhak memilih mana-mana DUN untuk bertanding, tetapi keputusan masih terletak kepada kuasa parti.

Pada PRU 2008, Wan Azizah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 13,388 undi, mengatasi calon BN, Datuk Pirdaus Ismail.

Beliau bagaimanapun meletak jawatan pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu. – NS






HEBAT ! CEKGUBARD ! BIAR RAMAI CEGINI ..RENDAH DIRI

Kenyataan Umum
27 Mac 2013

SEDIA JADI JENTERA BIASA DAN TIDAK BERTANDING DALAM PRU KE 13

Pilihanraya ke 13 merupakan PRU yang terpenting dalam sejarah negara. Belum pernah mood rakyat setinggi ini untuk membuat perubahan bagi menamatkan sejarah penguasaan regim yang diwariskan kepada negara ini oleh penjajah.

Namun perlu disedari cabaran yang terpaksa didepani bukan sedikit. Seribu satu helah dan taktik jahat akan digunakan untuk mempertahan regim ini seiring dengan seruan Najib Razak iaitu akan pertahankan 'Putrajaya' dengan darah biar hancur tulang belulang.

Maka fasa ini memerlukan penyatuan semua yang berada di pihak pro perubahan. Mood perubahan amat tinggi namun sejarah pernah membuktikan banyak kali perubahan gagal dicapai antara sebabnya ialah kerana perebutan dan pertelingkahan. che'GuBard menasihatkan diri dan teman - teman agar mengambil iktibar sejarah ini.

Ini masa seharusnya semua kelompok khususnya anak muda menumpukan gerak kerja mengasak perubahan tanpa berehat. Jalan yang dipilih ialah perubahan melalui peti undi dan kenderaannya ialah politik kepartian, maka perlu sedar ia sudah tentu penuh dengan kerenah politik itu sendiri.

Mendepani regim yang amat rakus dan pertembungan politik yang tidak jujur dan adil selaku anak muda ikhlas diakui ia amat mencabar kadang kala seperti tidak sanggup berdepan. Namun apa pun cabaran dalaman fokus perubahan besar demi tanah air tidak boleh sama sekali teralih.Untuk terus berada pada fokus yang betul maka kepentingan peribadi harus diletak tepi.

Mengajak semua peringkat pro perubahan bersatu dan menolak prasangka , che'GuBard dengan ini menegaskan untuk tidak bertanding dalam PRU ke 13 dan sedia menjadi jentera biasa. Kita semua harus sedar pertembungan kali ini ialah pertembungan kebangkitan dan kesedaran rakyat melawan regim yang jahat, korup dan sedang menghancurkan tanah air.

Menyeru semua kelompok anak muda untuk bersama dalam mood perlawanan maksima, yakinlah kejayaan kita bukan memenangi satu dua pertempuran sahaja tetapi peperangan menumbangkan regim menyelamatkan negara lebih penting.

che'GuBard tidak punya jawatan dalam parti politik cuma anggota biasa dalam Parti Keadilan Rakyat, namun sedar tetap terikat dengan disiplin parti. Apa keputusan parti dan keperluan parti untuk peranan yang cheGuBard harus mainkan dalam PRU ke 13 akan akur. Selaku anggota parti akan akur dan terikat dengan disiplin parti namun ditegaskan bersedia dan lebih selesa menjadi jentera biasa.

Bersama rangkaian komrad Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), kami sedia menggerakkan jentera anak muda dalam dan luar negara untuk terus mengasak perubahan dengan segala daya yang ada. SAMM telah pun menjalankan dan sedang menjalankan perbagai program juga tidak berhenti malah terus merancang perbagai program penyusunan anak muda untuk mengasak perubahan. Komrad SAMM percaya anak muda cita - citanya harus tidak singkat hanya untuk bergelar YB tetapi cita - cita kami ialah mencipta secara perubahan total yang akan dibaca ganerasi mendatang.

Kepada semua ayuh bersekutu ke arah perubahan. Anak muda berparti atau tidak berparti yakinlah tidak apa atau tiada siapa yang boleh menghalang kita untuk berjuang merobah negara. Tidak perlu menjadi ahli politik untuk berjuang kerana kebanyakan anak muda tidak punya syarat lengkap untuk menjadi ahli politik iaitu kemahiran dan kebolehan mengampu, bermuka - muka dan mengipas, tetapi berjuanglah dengan cara masing masing kerana perjuangan merobah negara milik semua.

Kepentingan teratas kini ialah tumbang regim dahulu.

Sekian.

che'GuBard
Penyelaras SAMM Kebangsaan
anggota biasa PKR

Wednesday 27 March 2013

JELAJAH ANWAR BAGI BN BISO BONAR !

29 Mac 2013 (Jumaat)
1) 8.30–12.00 mlm – Ceramah Perdana Demi Rakyat
Lokasi: Bandar Baru Sentul, (Dekat St. LRT Sentul Timur)
Penceramah:
i. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
ii. YBhg Mat Sabu
iii. YB Tien Chua
iv. Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein
v. Lt. Jeneral (B) Dato’ Abdul Ghafir Abdul Hamid
2) 8.30-12.00 mlm – Ceramah Perdana Merdeka Rakyat
Lokasi: Tapak Gerai MPS, Wira Damai, (St. Bas RAPID)
Penceramah:
i. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
ii. YB Azmin Ali
iii. YBhg Dato’ Mustafa Ali
iv. YB Amirudin Shari
v. Ustaz Salehuddin Nasir

Monday 25 March 2013

1988 TAK JADI HARAM, 2008 HARAM DIPERAM !

Pada 24 Mac 2013 di Kuala Lumpur, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama Gabungan Blogger Revolusi 13 telah mengadakan taklimat bersama hampir 50 orang pemain cyber (blogger/facebookers) pro perubahan.

Pertemuan ini ialah siri awal ke arah memulakan gerakan yang dikenali sebagai ‘Haramkan Umno’.

Umno sebuah organisasi politik yang ditubuhkan pada 1946 telah diharamkan pada 4 Febuari 1988 melalui satu keputusan mahkamah tinggi. Ini kerana pertembungan perebutan jawatan Presiden antara Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh telah dimenangi oleh Dr.Mahathir dengan taktik jahat antaranya ialah membawa perwakilan haram. Kes ini dibawa ke mahkamah dan mahkamah memutuskan Umno diharamkan.

Kemudian Razaleigh telah cuba merayu keputusan pengharaman Umno tetapi sebaliknya Dr.Mahathir telah menggunakan kuasanya dengan memecat Tun Salleh Abbas (Ketua Hakim Negara pada ketika itu) dan menggagalkan persidangan rayuan pengharaman Umno. Rupanya apabila Umno asal (1946) diharamkan, Dr.Mahathir meraih keuntungan dengan menubuhkan Umno Baru dan terus memperkukuhkan cengkaman kuasanya.

Setelah mendapat hak penubuhan Umno baru beliau meminda akta pertubuhan 1966. Semenjak itu Umno amat besar kepala mereka memikirkan undang – undang negara sudah berada di bawah tapak kaki mereka. Semua perundangan termasuk akta pertubuhan diambil sambil lewa.

Setelah Umno asal diharamkan maka semua pendaftaran peringkat pusat, bahagian dan cawangan terbatal. Kemudian Umno baru ditubuhkan maka seharusnya semua proses penajaan dan penubuhan harus dibuat semula dari awal, namun merasakan mereka amat berkuasa maka banyak peringkat Umno telah tidak bertindak dalam mendaftarkan semula organisasi Umno peringkat tertentu. Kemudian keadaan bertambah parah berikutan banyak cawangan Umno yang tidak menghantar dokumen tahunan seperti dikehendaki akta pertubuhan 1966.

Natijahnya tanpa sedar ribuan cawangan Umno menjadi cawangan haram. Umno menggunakan sistem perwakilan maka cawangan haram menghantar perwakilan ke bahagian secara automatik bahagian menjadi haram. Bahagian menghantar perwakilan ke Perhimpunan Agong Umno secara automatik Umno itu sendiri haram.

Pada tahun 2008 dalam Umno bahagian Tanah Merah telah berlaku pergolakan perebutan jawatan, ada yang mahu bertanding jawatan utama ketika itu didapati tidak membayar yuran dan terdiri ahli dari cawangan haram. Maka kes mahkamah dibawa dan melalui proses mahkamah dibuktikan 126 cawangan Umno di Tanah Merah ialah cawangan yang tidak berdaftar dan cawangan dibatalkan pendaftaran iaitu cawangan haram.

Ini diakui oleh Setiausaha Agung Umno sendiri dan Pendaftar pertubuhan, cuma kes di mahkamah dibuang kerana pengadu yang membawa kes ke mahkamah telah dipecat melalui surat pemecatan yang dikatakan telah di’back-dated’kan. Pengadu telah hilang status sah sebagai ahli (hilang local standi) untuk membawa kes ke mahkamah.

Umno Tanah Merah terus bermesyuarat dengan dengan perwakilan cawangan haram dan perwakilan dari mesyuarat haram Tanah Merah telah menghantar perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno pada tahun itu yang seharusnya turut memberikan implikasi pengharaman PAU tersebut.

Dari maklumat dalaman tiada cawangan Umno berdaftar di Jeli, Bachok dan Tumpat. Hanya sebilangan kecil cawangan Umno berdaftar di Kota Bharu. Carian dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan menyatakan lebih separuh daripada 2,181 cawangan Umno di Kelantan adalah haram. (sumber SIASAH 2010)

Carian juga telah dibuat di Pejabat Pendaftar Pertubuhan di Shah Alam, Pulau Pinang dan Alor Setar ke atas ratusan cawangan Umno namun Pejabat Pendaftar Pertubuhan menyatakan fail gagal dicari dan berada di Putrajaya. Persoalanya mengapa di Putrajaya?

Berdasarkan Seksyen 10 Akta Pertubuhan 1966 menyatakan semua warga Malaysia diberi hak untuk memeriksa dokumen pendaftaran mana – mana organisasi berdaftar di Malaysia kecuali beberapa dokumen sulit seperti laporan kewangan. Malangnya carian di Putrajaya juga gagal mendapatkan maklumat yang dibenarkan berdasarkan akta pendaftar pertubuhan 1966 malah diwujudkan borang Pertubuhan 27 untuk membolehkan carian sepertinya dilakukan.

Diyakini seluruh negara 3/4 dari cawangan Umno adalah terdiri dari cawangan haram, malah ada bahagian Umno juga yang terdiri dari bahagian tidak sah pendaftarannya.

Jadi kini tidak pelik bagaimana negara boleh berdepan dengan 1001 masalah dan krisis – ini kerana negara telah ditadbir oleh sebuah organisasi politik haram.

Maka SAMM dan gabungan Blogger Revolusi 13 mengajak seluruh rakyat pro perubahan untuk bersama dalam gerakan ‘Haramkan Umno’.

Peranan semua:

1. Menyampaikan penerangan ‘kenapa Umno organisasi haram?’ ke seluruh pelusuk negara.

2. Menggerakkan desakan carian status cawangan Umno di peringkat masing-masing. Gunakan borang Pertubuhan 27. Isi sendiri dan buat carian cawangan Umno tempat anda, hantar ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan dapatkan respon bertulis serta cop rasmi, scan dokumen tersebut dan hantar ke email haramkanumno@gmail.com

3. Gerakan Haramkan Umno ini juga memohon kakitangan pejabat pendaftaran agar dapat menghantar email secara sulit, maklumat berkaitan pendaftaran Umno yang tidak sah ke email haramkanumno@gmail.com

Maklumat berkenaan gerakan ini boleh diperolehi di www.anakmudamalaysia.com dan juga laman facebook Umno-Parti-Haram beberapa laman FB serta blog sekutu.

Gerakan ini juga akan memfailkan satu petisyen mahkamah berkenaan perkara ini dalam masa terdekat. Ini satu gerakan serius selain dari usaha menggunakan seluruh ruang teknikal perundangan, gerakan ini juga akan menjadikan PRU-13 sebagai satu proses referendum rakyat untuk menolak organisasi haram sebagai pemerintah negara.

Mohon kerjasama semua pemain cyber dan editor media rasmi agar sama membantu hebahan dan dalam masa terdekat akan diadakan satu pelancaran terbuka ‘Gerakan Haramkan Umno’ di ibukota.

Sekian.

che’GuBard
Ketua Penyelaras Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia

Thursday 21 March 2013

NST DAH JADI NAUGHTY ATAU BN MIGHTY?


HANCUR BN, 

SHAH ALAM, 21 MAC : Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar New Straits Times (NST) ekoran penyiaran artikel yang mendakwa beliau memperlekeh usaha anggota keselamatan di Lahad Datu.
Nurul Izzah menyifatkan rencana yang bertajuk “Nurul Izzah hits out at police” adalah berniat jahat kerana didakwa memutarbelit ucapan ceramah beliau di Jemapoh, Negeri Sembilan pada 19 Mac lalu.
Rencana tersebut diterbitkan di dalam NST hari ini.
“Integriti kewartawanan yang bertanggungjawab adalah mercu tanda demokrasi di negara kita.
“Sedang kita melalui krisis yang mengancam keselamatan negara, saya berpendapat bahawa laporan yang tidak tepat dan menyeleweng itu harus ditarik balik.
“Saya menuntut New Straits Times memohon maaf dalam masa 24 jam melalui media digital dan cetak sebagaimana rencana berbaur fitnah itu telah disebarkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menegaskan, isu sebenarnya yang diketengahkan di dalam ceramahnya adalah tindakan ahli-ahli politik di Putrajaya dalam menangani masalah keselamatan di Lahad Datu, Sabah.
Katanya, beliau bersependapat dengan Lt Gen (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid yang menyatakan kegagalan risikan mencegah pencerobohan Lahad Datu berlaku kerana risikan difokuskan ke arah pengintipan perkembangan politik negara sejak tahun 2000.
Beliau turut mengulangi pendirian konsisten Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan sidang Parlimen tergempar, di samping kertas putih bagi mendalami krisis di Lahad Datu demi keselamatan negara.
“Ingin saya nyatakan di sini bahawa saya menyokong sepenuhnya pihak keselamatan, khususnya anggota-anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang pada waktu ini sedang berjuang di perbatasan mempertahankan kedaulatan negara di bumi Sabah.
“Saya tidak pernah sekali-kali memperlekeh usaha anggota-anggota keselamatan yang berkorban dan memenuhi ikrar taat setia yang telah dilafazkan,” katanya lagi.

PIHAK BERKUASA JANGAN BERPUASA !

PKR gesa Pihak Berkuasa dedahkan jika militan Sulu datang dari ‘Projek IC’ bukan berpuasa bila kes terkena kepada BN. Kalau kena pada PR pihak berkuasa macam orang tak puasa.

 KUALA LUMPUR, 21 Mac — PKR hari ini mahu kerajaan mendedahkan perkara sebenar jika militan Sulu yang cuba menawan Sabah 9 Februari lalu datang dari rancangan “Projek IC”, iaitu pemberian kad pengenalan kepada warga asing sebagai pertukaran untuk undi.

Kesultanan Sulu menurut jurucakapnya semalam berkata Agbimuddin Kiram — adik kepada Jamalul Kiram III — yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu mengesahkan pernah bekerja sebagai pembantu pegawai daerah di Kudat, Sabah.

“Pengesahan oleh jurucakap kumpulan yang menggelarkan diri mereka Kesultanan Sulu yang dibuat di Manila bahawa Agbimudin Kiram pernah menjadi pegawai kerajaan di negeri Sabah terus menimbulkan persoalan mengenai latar belakang sebenar konflik pencerobohan di Lahad Datu,” kata Rafizi Ramli (gambar), dalam kenyataan yang diberikan hari ini.

“Pengesahan itu mengiyakan kerisauan banyak pihak bahawa kumpulan bersenjata di Lahad Datu turut melibatkan rakyat Malaysia berasal dari Filipina yang memegang kad pengenalan biru.

“Perkara ini mendedahkan kemungkinan ancaman keselamatan yang timbul akibat dari tindakan pihak tertentu yang dituduh berkait dengan Tun Mahathir Mohamad memberikan kerakyatan tanpa melalui proses yang sah.”

Menurut Rafizi, pengesahan itu membayangkan banyak perkara yang masih belum dibongkarkan oleh inkuiri Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pendatang asing yang ditangguh kerana serangan puak bersenjata Sulu di Lahad Datu yang setakat ini mengorbankan 10 orang pasukan keselamatan Malaysia dan 62 puak bersenjata Sulu sejak konflik berlangsung.

“Apakah Agbimudin Kiram adalah rakyat Malaysia yang telah diberikan kad pengenalan biru? Berapa ramai dari kalangan penceroboh bersenjata yang mempunyai kad pengenalan biru?  Berapa ramai dari kalangan mereka yang mempunyai kad pengenalan biru mendapat kad pengenalan biru di bawah Projek IC?” kata pengarah strategi PKR itu.

“Ini adalah soalan-soalan asas yang wajib dijawab oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, memandangkan beliau seharusnya berterus terang mengenai latar belakang konflik ini dengan rakyat.”

Rafizi mencadangkan supaya pertimbangan diambil untuk memulakan serta merta prosiding RCI yang tergendala bagi memastikan semua aspek berhubung pemberian kad pengenalan di Sabah tanpa melalui proses yang sah diteliti dan dibongkar sepenuhnya.

Semalam, jurucakap Kesultanan Sulu, Abraham Idjirani, memberitahu media Filipina di Manila bahawa Agbimuddin pernah bekerja selaku pembantu pegawai daerah di Kudat, menyokong kenyataan PKR semalam, berdasarkan pencarian dari slip gaji kerajaan Sabah dari arkib negeri.

Idjirani bagaimanapun mengatakan Agbimuddin — adik kepada Jamalul Kiram III — sebagai warga Filipina dan tidak pernah menjadi warga Malaysia seperti didakwa PKR.

Beliau berkata keluarga Kiram, yang mahu menuntut semula hak mereka sejak abad ke-17 terhadap negeri utara Borneo yang kini menjadi milik Malaysia, tinggal di Sabah sejak pembunuhan beramai-ramai Jabidah 1968.

Monday 18 March 2013

CUKAI YANG LEBIH ADIL DARI KERAJAAN PAKATAN RAKYAT !

SHAH ALAM,18 MAC : Pakatan Rakyat (PR) akan menawarkan sistem cukai yang adil kepada semua golongan di negara ini jika berjaya ke Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kelak.
Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, sistem cukai yang sedia ada sudah lapuk dan perlu dirombak semula supaya tidak berterusan menindas golongan bawahan.
Katanya, sistem cukai yang digunapakai Kerajaan Umno-BN sekarang dibuat pada puluhan tahun dahulu dan tidak sesuai digunapakai pada masa kini.
“Sistem cukai ini dibuat pada tangga gaji 40 ke 50 tahun dahulu, sebab itu contohnya di bawah Umno-BN sekarang, bagi mereka yang mendapat pendapatan boleh cukai bersih adalah RM 100,000 ke atas setiap tahun,” katanya dalam satu sesi Dialog Anak Muda bersama Anwar Ibrahim di Bandar Utama baru-baru ini.
Jelasnya, ini bermakna pekerja di negara ini yang mendapat gaji bulanan RM10,000 ke atas merupakan pembayar cukai tertinggi di negara ini.
anwar pc close 01“Maknanya, awk kerja sebagai eksekutif kanan, awak bayar cukai sama nilai macam Ananda Krishnan, Ananda Krishnan ada RM18 bilion kekayaan,” sindirnya.
Tambah Rafizi, jika PR berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan, struktur cukai akan dirombak dan dinaikkan kepada RM450,000 setahun dan ini hanya akan melibatkan pekerja yang mendapat gaji RM45,000 sebulan dan ke atas.
“Kalau RM450,000, maksudnya yang pendapatan bulanan RM40,000 sebulan dia akan jadi pembayar cukai tertinggi.
“Kemudian yang lain kita akan buat pengagihan kelas cukai supaya akhirnya eksekutif tidaklah perlu bayar cukai pada kadar yang sama dengan orang yang paling kaya,” katanya dalam forum yang dihadiri lebih 200 orang itu.
Dalam pada itu, Rafizi turut menjelaskan PR menggunakan mekanisme keadilan dan kesaksamaan apabila mahu melaksanakan cukai perkhidmatan kerajaan(GST) yang diperkenalkan Kerajaan Umno-BN.
GST diperkenalkan oleh Kerajaan Umno-BN supaya dapat menurunkan cukai pendapatan serta dapat memberikan sumber kewangan berterusan kepada kerajaan.
Katanya, perlaksanaan GST akan menjadi beban kepada 28 juta rakyat Malaysia dan hanya menguntungkan segelintir rakyat akibat pengurangan cukai pendapatan.
“Adalah tidak adil untuk melaksanakan GST pada masa sekarang kerana yang dapat manfaat daripada menurunkan cukai hanyalah satu juta rakyat sahaja dan buat masa sekarang kita menangguhkan dulu mengenai GST sehingga berlakunya reformasi dalam ekonomi negara kita,” ujarnya.

Thursday 14 March 2013

JANGAN CELIK TAPI BUTA POLITIK !


Orang buta yang paling teruk ialah buta politik. Dia pekak, tak nampak dan tak mengambil bahagian dalam politik. Dia seolah-olah tidak mahu peduli mengenai kos hidup, harga bijirin, harga tepung, harga sewaan, kos perubatan, sedangkan semuanya bergantung kepada keputusan politik. Dia syok sendiri dengan sikapnya yang tidak peduli pasal politik, dan dengan megah mengata dan membenci politik. Dia tidak tahu bahawa kedunguan daripada sikap berkecualinya itu menyumbang kepada pelacuran,pengabaian kanak-kanak, kecurian dan yang paling teruk sekali ianya menyumbang kepada korupsi dalam kerajaan dan eksploitasi agensi kerajaan - Berbolt Brecht (penyair German)

Mungkin apa yang dikatakan Berbolt Brecht itu betul kerana ianya berkenaan dengan masa depan kita dan kita tidak seharusnya mengambil sikap tidak peduli dengan politik yang berkaitan dengan kos-kos hidup. Akan tetapi kita tidak boleh terlalu taksub kepada politik dan memperhambakan diri kepada pemimpin. Dalam politik biar bersederhana dan bijak menilai mana yang baik untuk masa depan kita dan menepis perkara yang membawa keburukan..

Tuesday 12 March 2013

KETUA POLIS NEGARA PUN AKUI MEMANG BN AKAN KUI-KUI !

PERAK 12 MAC: Ketua Polis Negara sendiri akui Pakatan Rakyat ada kemungkinan besar tawan Putrajaya, dedah Pengerusi Biro Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty.

Manuty mendedahkan maklumat tersebut dalam ceramahnya ketika sesi Jelajah Merdeka Rakyat di Lumut, Perak kelmarin.

Katanya, Tan Sri Ismail Omar yang memegang jawatan Ketua Polis Negara sejak 2010, secara terbuka mengakui keupayaan Pakatan Rakyat menawan putrajaya.

Kenyataan Ismail itu dipetik dari ucapannya dalam Kursus Tarbiah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di hadapan 200 orang profesor senior kira-kira tiga minggu lalu.

“Kursus Tarbiah itu turut dihadiri Tun Mahathir, dia (Ismail) beritahu, Pakatan Rakyat ada potensi besar ke Putrajaya dan keadaan akan jadi huru hara.

“Beliau terlupa, bila kita (PR) kata kita nak tawan putrajaya, kita dah sediakan persediaan rapi, kita ada empat orang general terlatih sebagai penasihat keselamatan kita

“Isu huru-hara hanya dicipta untuk takutkan rakyat, tapi tak apalah, yang penting ketua polis sendiri akui kita mampu tawan putrajaya,” Katanya.

Kenyataan beliau dikuatkan lagi dengan kenyataan Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid yang turut mendedahkan persiapan rapi telah di lakukan oleh tentera untuk menghadapi perubahan kerajaan.

“Pelan perancangan strategik telah dirancang oleh pihak polis. Kalau Anwar jadi Perdana Menteri, macam mana polis nak bawa dia (Anwar) ke Istana Negara untuk angkat sumpah, itu pun sudah ditunjukkan pada saya,” katanya.

Ceramah yang turut dihadiri Ketua Umum KEADILAN, Datuk Sri Anwar Ibrahim turut menyaksikan pemimpin rakyat itu berjalan di bawah sinaran cahaya lampu suluh untuk naik ke pentas.

Walaupun terpaksa bergelap, semua penyokong tetap bersama kontinjen Jelajah Merdeka Rakyat di Perak sehingga berakhir jam 2 pagi. ~keadilandaily

Friday 1 March 2013

MAAF YE PENCACAI BN/UMNO, JAMBATAN KANTOI DIBINA PADA TAHUN 2007 !


KUALA LUMPUR: Insiden jejambat runtuh di Putrajaya semalam bukan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri Selangor, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
Khalid bagaimanapun berkata jejambat itu perlu diperbetulkan dan pihaknya tidak berminat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak.
 
“Saya tidak berfikir begitu. Kontrak telah diberi pada 2007.
 
“Kami tidak akan cari kesalahan, tapi kami pastikan semuanya diperbetulkan,” kata Abdul Khalid.
 
Khalid juga mengulangi pendirian Exco Selangor, Ronnie Liu yang menyatakan PKNS mungkin menyaman PLUS Malaysia Berhad jika bukti menunjukkan pengendali lebuh raya tersebut sebagai punca jejambat tersebut runtuh.
 
Dalam pada itu, Pengurus Besar PKNS Othman Omar hari ini berkata PKNS masih belum memutuskan sebarang tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak ekoran insiden tersebut.
 
Jejambat itu runtuh jam 12.30 tengah hari semalam dan kelihatan terbelah dua, menyebabkan paip yang menyalurkan air juga pecah.
 
Jejambat tersebut ialah susur keluar dari Lebuhraya Elite (KM P2.4) menuju Selangor Science Park 2 (SSP2).
 
Pembinaan projek jejambat bernilai RM7 juta itu dijalankan oleh BNI Construction dari Oktober 2007 dan siap pada November 2009. Empat peneraju projek ini - PKNS, Utuh Aspirasi Sdn Bhd, Taraf Unggul Sdn Bhd dan Semai Ria Sdn Bhd berkongsi kos untuk pembinaan ini.
 
Difahamkan, tiada mangsa yang tercedera daripada insiden tersebut.