Friday 11 October 2013

PEMBAZIRAN WANG NEGARA MALAH MEMBAZIR NYAWA ANAK MUDA

PLKN : BERAT MATA MEMANDANG BERAT LAGI BAHU MEMIKUL

Muhammad Suhaimi Norhamidi, 18 tahun,  maut di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara, PLKN Muazzam Shah, Rompin, Pahang hanya kerana dia dilaporkan memotong barisan tatkala bersarapan pagi 22 September lalu. Mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan di bilik air kem terbabit pada awal pagi sehari kemudian.

Siasatan awal polis mendapati Suhaimi mengalami kecederaaan di bahagian otak. Berikutan itu  seorang suspek berusia 17 tahun dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Sebutan semula kes pada 11 Disember di Mahkamah Majestrit Rompin.

Manakala 5 pelatih lain dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun sama kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa.


Tentunya ramai antara pembaca tahu mengenai perkembangan kes menjadi  satu titik hitam ini sekaligus menimbulkan pelbagai persoalan dan mencetuskan kesangsian terutamanya di kalangan keluarga bakal menghantar anak mereka ke Kem PLKN. 


Lihat gambar dirakamkan oleh akhbar Sinar Harian, persiapan membawa jenazah pulang ke Kerdau, Temerloh untuk dikebumikan. Hati ayah dan ibu manakah tidak tersentuh melihat sekujur mayat anak dipulangkan ke pangkuan mereka dalam keadaan sebegitu? Jika pihak pentadbiran PLKN disaman  atau keluarga diberikan pampasan jutaan ringgit sekalipun, nyawa anak mereka tidak akan dapat dikembalikan semula.

Mungkin sebilangan individu terbabit dengan PLKN berkata, bukan semua kes kematian pelatih membabitkan kes jenayah.

Ya, benar tetapi biarpun kes dianggap terpencil, kehilangan nyawa pelatih  tetap satu fakta tidak mampu disangkal. Jika tidak terkena batang hidung sendiri, barangkali tiada impaknya kepada keluarga. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. 

Setelah kira-kira 10 tahun PLKN dilaksanakan, apakah antara kaedah damage control dilakukan oleh pihak pentadbiran? Bukankah amat wajar sekiranya jiwa ibu bapa ditenangkan dengan perkongsian maklumat tepat agar mereka mampu berlapang dada sebelum anak mereka dihantar sebagai pelatih? 

Oleh itu, bijak sekiranya penggunaan media sosial dioptimakan untuk menyebarkan maklumat sebagai rujukan semua. Melalui pemerhatian, kebanyakkan rakaman video dipaparkan di Youtube, hasil kreativiti bekas pelatih, bukan maklumat rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan PLKN sendiri.

Adakah sebilangan kita masih lagi tidak mempercayai keberkesanan perkongsian maklumat melalui media sosial?

 
 

No comments:

Post a Comment