Tuesday 16 October 2012

PROJEK BEBAL BN 6 TAHUN DAH GAGAL TAPI KEKAL!

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) mendakwa Sistem Maklumat Trafik Bersepadu (Itis) yang diperkenal sejak 2005 sebagai gagal dan perlu dihentikan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, projek itu yang dibekalkan 255 CCTV (kamera litar tertutup) dan  728 kamera  AID (Automatic Incident Detection) masih tidak mampu berfungsi sepenuhnya.

“Laporan Ketua Audit Negara 2011 menunjukkan 70.6 peratus orang awam tidak tahu kewujudan Itis ini dan sehingga kini, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) masih beri geran Itis RM68 juta untuk penyelenggaraan.

“Ia menunjukkan projek itu gagal dan membazir wang rakyat,” katanya di lobi Parlimen, semalam.

Berikutan itu, Nurul Izzah bersama Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan yang lain iaitu Dr Tan Seng Giaw (DAP - Kepong), Tan Kok Wai (DAP - Cheras), Fong Kui Lun (DAP - Bukit Bintang) dan Lim Lip Eng (DAP - Segambut) mengesa Menteri Wilayah Persekutuan dan

Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib segera menjawab perkara itu.

Sementara itu Kok Wai berkata, pihaknya mempersoalkan perkara itu sejak 2008 lagi, tetapi DBKL tidak memberi jawapan sewajarnya mengenai fungsi Itis.

“Projek ini libatkan belanja besar iaitu melebihi RM400 juta, tetapi tidak beri kesan positif kepada rakyat,” katanya.

Lip Eng pula berkata, beliau pernah membangkitkan perkara itu pada Jun lalu di Dewan Rakyat.

“Jawapan diterima menyatakan 140 unit Variable Message Sign (VMS) dipasang sejak 2004, tetapi sehingga kini hanya 46 unit sahaja berfungsi.

“Lebih mengejutkan apabila saya diberitahu, kompenan VMS tiada alat ganti, tetapi kementerian memperuntukkan RM1.5 juta setahun untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Secara jelas berlaku ketirisan serius dalam projek ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment