Tuesday, 4 December 2012

RAKYAT BN BAGAIKAN CAPATI !

SHAH ALAM 4 DIS : Kerajaan wajar menubuhkan satu badan bebas bagi menyiasat dakwaan kenaikan caj bil elektrik dikemukakan orang ramai, kata Pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Kenaikan caj ini berikutan langkah Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalankan penukaran meter analog kepada meter elektronik.
Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia berkata, penubuhan badan bebas itu perlu kerana wujud rasa tidak puas hati dan marah di kalangan rakyat yang mesti dipandang serius oleh kerajaan.
Menurutnya, bagi kawasan Kelana Jaya sahaja, PKR menerima 22 aduan daripada orang ramai yang mendakwa kenaikan caj bil elektrik antara 20 hingga 50 peratus.
“Program penggantian meter ini sebenarnya suatu komitmen kewangan yang cukup besar oleh TNB dan beban kewangan tambahan kepada pengguna boleh mencapai berbilion-bilion ringgit.
“Kajian kami menunjukkan buat masa ini ada 8.03 juta pengguna TNB di Malaysia. Kami menganggarkan harga purata meter elektronik baru adalah RM250 setiap unit. Justeru program penggantian ini berpotensi mencapai sehingga RM 2 bilion (8.03 juta unit x RM250),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nik Nazmi berkata, penjelasan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui bahawa sebarang kenaikan penggunaan elektrik selepas penggantian meter adalah berikutan bacaan yang lebih baik dan tepat daripada meter elektronik bukan jawapan memuaskan mengenai potensi saiz beban kewangan yang bakal ditanggung semua pengguna TNB.
Tambahnya isu tersebut tidak boleh dipandang kecil kerana ia melibatkan satu jumlah kewangan besar yang terpaksa ditanggung oleh orang ramai sebagai pengguna.
Katanya, bagi tahun kewangan 2012 hasil TNB daripada semua pengguna adalah RM34.4 bilion maka jika meter elektronik baru memberi peningkatan konservatif dua peratus di dalam semua bil elektrik, beban tambahan ke atas pengguna adalah sebanyak RM688 juta setiap tahun.
“Memandangkan meter elektronik baru ini mempunyai jangka hayat selama 10 tahun, pengguna akan akhirnya membayar RM6.88 bilion lebih kepada TNB untuk tempoh tersebut.
“Justeru PKR berharap kerajaan lebih bertanggungjawab dan telus dalam perkara ini dan rakyat berhak mendapat maklumat lanjut mengenai program penggantian meter elektronik baru oleh TNB,” katanya.
Beliau menjelaskan berdasarkan kajian menunjukkan TNB mempunyai lima pembekal dengan salah satunya, Malaysian Intelligence Meters Sdn Bhd dimiliki sebahagian oleh keluarga bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi manakala harga purata meter elektronik satu dan tiga fasa ialah RM250 setiap satu.
“Adakah tender perbekalan dibuat secara tender terbuka atau runding terus? Butir-butir penuh dan telus seharusnya diberikan oleh TNB,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment