Monday 26 November 2012

BISUL YB BN BATANGKALI AKAN JADI USUL !

SHAH ALAM 26 NOV : Usul membawa  Datuk Mohd Isa Abu Kassim (BN-Batang Kali) untuk dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan dibuat Adun Pakatan Rakyat (PR) di dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada minggu ini.
Tindakan itu diambil berikutan kenyataan dibuat Mohd Isa yang disifatkan menghina kaum wanita terhadap Exco Pelancongan, Hal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong ketika sesi perbahasan Belanjawan Selangor 2013 dalam sidang DNS Khamis lalu.
Adun Taman Medan, Haniza Talha berkata, usul tersebut akan dikemukakan untuk dibahaskan ketika sesi DNS berlangsung dengan persetujuan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana insiden itu berlaku kurang dari 14 hari.
Beliau selanjutnya berkata, perbincangan sedang dijalankan dengan beberapa kumpulan dan pertubuhan wanita supaya kenyataan bersama dapat dikeluarkan berhubung perkara berkenaan.
“Kita memang mendapat sokongan dari beberapa kumpulan dan pertubuhan wanita mengenai isu ini. Usul akan dibuat dengan meminta salah seorang Adun wanita supaya membahaskannya di dalam dewan.
“Usul ini akan dibuat minggu ini. Sudah tentu minggu ini kerana ia minggu terakhir sidang dewan,” katanya kepada media ketika diminta mengulas berhubung perkara tersebut.
Haniza yang juga Timbalan Speaker DNS menjelaskan memang terdapat di dalam peraturan tetap melarang mana-mana ahli dewan mengeluarkan kenyataan berbentuk lucah atau biadap tetapi ia tidak spesifik menjurus kenyataan seksis.
“Itu mungkin antara pertimbangan, kita belum meneliti secara mendalam. Kita akan melihat mana yang baik supaya selepas ini tiada lagi mana-mana ahli di dalam dewan membuat kenyataan seperti itu.
“Saya nampak memang bagus kalau ada spesifik menyatakan tiada kenyataan seksis maka mereka tidak akan berani mengeluarkan kenyataan tersebut,” katanya mengenai tindakan susulan sekiranya DNS bercadang menguatkuasakan peraturan melarang Adun daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Beliau berkata, cadangan tersebut ada kebaikannya kerana Mohd Isa menafikan pernah membuat kenyataan sebegitu.

No comments:

Post a Comment