Thursday 29 August 2013

SYABAS WAJAR BAYAR PAMPASAN ATAS KEGAGALAN PENYENGGARAAN

SHAH ALAM 29 OGOS: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) patut memberi pampasan kepada pengguna yang terjejas setiap kali berlaku gangguan bekalan air, kata Rafizi Ramli.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kegagalan Syabas menyelenggara rumah pam di Wangsa Maju sehingga menyebabkan gangguan benar-benar mengecewakan rakyat dan tidak boleh diterima sama sekali.
Katanya, Syabas selaku pemegang konsesi bekalan air terbesar di Selangor harus memiliki sikap tanggungjawab dengan memberi pampasan kepada pengguna yang terkesan dari gangguan bekalan air.
“Sebagai pemegang konsesi yang memonopoli di Lembah Klang, kelemahan itu tidak boleh diterima sama sekali,” katanya pada kenyataan media hari ini.
Kejadian sedemikian sama seperti berlaku Disember tahun lalu apabila penduduk sekitar Pandan, Ampang, Gombak dan Wangsa Maju mengalami gangguan bekalan air selama tiga minggu berikutan kerosakan di rumah pam Wangsa Maju.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, satu keputusan dibuat untuk memfail kes tuntutan terhadap Syabas di Tribunal Tuntutan Pengguna mengikut Seksyen 53, Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Seksyen itu menyebut: “Jika perkhidmatan dibekal kepada pengguna, maka hendaklah tersirat suatu gerenti bahawa perkhidmatan itu akan dijalankan dengan ketelitian dan kemahiran yang munasabah.”
“Jika Syabas ada ketelitian dan kemahiran yang munasabah, kelemahan yang menyebabkan gangguan bekalan air berulang sudah lama diatasi,” kata Rafizi.
Selain itu, beliau berkata, Pusat Khidmat Parlimen Pandan membantu pengguna untuk mengisi maklumat di www.rafiziramli.com/tribunalpengguna bagi memfailkan kes tuntutan pampasan.
Selain menulis surat kepada Pengerusi Syabas, Tan Sri Rozali Ismail untuk meminta penjelasan, beliau berkata, langkah itu sebagai kempen tersusun supaya Syabas bertanggungjawab setiap kali berlaku gangguan bekalan air.
- FZL

No comments:

Post a Comment